Konsep pelaburan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar. Cuma kadangkala nampak macam susah dan payah sangat-sangat. Dan ia berlaku kerana pelbagai sebab, mitos dan dongeng yang disampaikan turun temurun.
Dalam Islam ia disebut mudharabah. Anda selaku pengeluar modal (shohibul mal) memberikan wang kepada peniaga / usahawan (mudharib). Untung diberi mengikut kadar yang dipersetujui.
Post yang terdahulu, Apa Pelaburan Pilihan Anda?, anda telah diberikan satu situasi. Dengan wang tunai sebanyak RM 250,000 syarikat yang manakah yang anda akan laburkan duit anda. Keputusan jawapannya adalah seperti berikut:
Usahawan A: 16 pelabur (27%)
Usahawan B: 24 pelabur (41%)
Usahawan A + B: 19 pelabur (32%)
Ulasan
Sebenarnya, saya sudah menjangkakan lebih ramai akan melabur dengan usahawan B. Disusuli dengan “diversification” iaitu A+B, dan lebih sedikit akan fokus melabur dengan usahawan A.
Ramai yang memilih B barangkali ia kelihatan baru, cool, boombastic dan oooh la la …
Yelah, orang bijak pandai pun kata jual nasi lemak ni macam low class.
Dan ini ulasan panjang …
# 1 Labur dalam perniagaan yang anda faham sahaja
Tidak salah anda ingin melabur dalam A atau B. Apa yang penting adalah anda faham perniagaan tersebut.
Syarikat A itu andaikan sahaja sebagai Berkshire Hathaway (asalnya sebuah syarikat tekstil) milik pelabur terkaya, Warren Buffett, dan Syarikat B itu adalah Microsoft (syarikat perisian) milik usahawan terkaya, Bill Gates.
Warren Buffett, walaupun dia seorang pelabur yang hebat, tetapi dia tidak melabur dalam Microsoft. Alasannya, dia tidak faham macam mana operasi perniagaan Microsoft. Dia lebih faham perniagaan yang mudah seperti tekstil, Coca Cola, American Express, gula-gula, surat khabar dan perniagaan seumpamanya.
Jadi, anda perlu lihat jawapan anda. Adakah anda memberikan sebab pelaburan anda kerana anda faham perniagaan tersebut atau tidak?
Sekiranya anda menjawab seperti, “Saya ingin melabur di A kerana perniagaan itu mudah difahami …” atau “Saya memilih syarikat B kerana saya memang berada dalam industri teknologi … ” dan jawapan yang sewaktu dengannya. Itu adalah jawapan terbaik. Dan anda sedang berfikir dengan cara yang betul untuk menjadi seorang pelabur yang baik.
Tetapi anehnya, kebanyakan orang lebih suka melabur dalam sesuatu yang dia tidak faham. Dan akhirnya, orang sebegini akan rugi dalam pelaburannya.
Tak faham apa itu matawang, nak melabur juga di forex.
Tak pernah tengok pun buah kelapa sawit, nak juga melabur di pasaran hadapan kelapa sawit dan kaunter perladangan.
Tak pernah sampai pun ke China, berminat juga mahu melabur dalam dana pelaburan yang melabur di China.
Kerja dalam industri oil & gas tetapi lebih berminat melabur dalam syarikat komputer dan MESDAQ.
Kerja dalam industri komputer, berminat pula melabur dalam syarikat oil & gas.
Dan seterusnya.
Tidak tahu kenapa ramai orang selalunya lebih cenderung melabur dalam bidang baru, dalam sesuatu yang dia tidak faham dari hanya melabur dalam bidang yang sudah established dan dalam sesuatu yang sudah difahaminya.
# 2 Diversification is a protection against ignorance
Ia adalah kata-kata Warren Buffett.
Pelabur yang faham apa yang dia buat dengan pelaburannya, tidak membuat diversify seperti yang difahami oleh kebanyakan orang. Malangnya, ramai orang diversify hanya kerana untuk diversification.
Kenapa anda perlu meletakkan 10 biji telur dalam 10 bakul yang berbeza?
Kenapa anda tidak letakkan 10 biji telur dalam 1 bakul sahaja?
Jawapannya adalah berbalik kepada penjelasan # 1
Sekiranya anda dapat mengenal pasti satu peluang yang boleh berikan 100% pulangan, kenapa anda perlu membahagikan duit anda kepada beberapa pecahan pelaburan lagi? Ia tidak masuk akal. Kan lebih bagus anda laburkan kesemua duit anda ke dalam pelaburan yang boleh memberikan pulangan 100% itu tadi.
Mereka yang membuat diversification membuta tuli ini selalunya adalah mereka yang tidak yakin dan tidak faham pun dengan pelaburan yang mereka buat. Pecah 1 telur, ada 9 lagi. Pecah lagi satu, ada 8 lagi. Jadi kalau akhirnya ada 4 telur pecah, 6 telur yang tinggal itu lah yang akan mengimbangkan pulangannya nanti.
Pernah anda tengok seorang atlit professional yang menyertai 10 jenis sukan dalam satu masa? Steven Gerrard tidak bermain kriket dan ragbi secara professional dan hanya menumpukan sukan bola sepak dan menjadi pemain midfielder yang terbaik.
Ya. Saya faham. Tidak semua orang mampu membuat stock trading dan stock analysis sendiri. Saya akui. Unit trust sahaja tempat yang paling sesuai untuk anda melabur. Sekiranya itu keadaan anda, saya tidak boleh berbuat apa-apa.
Saya cuma boleh sarankan, cepat-cepat pergi belajar mengenai pelaburan. Biarlah orang yang tak baca blog Pakdi.my ini yang hanya mengharapkan saham amanah sebagai satu-satu punca pendapatan pelaburannya. Tapi anda yang dah baca, kenalah jadi orang yang lebih sedikit. Barulah saya seronok nak menulis.
Sekiranya keadaan anda sebegitu, anda tidak perlulah membeli semua jenis dana amanah saham yang dijual kepada anda. Cukuplah menumpukan 1 atau 2 dana yang berlainan jenis dan beli dana yang anda faham apa gaya pelaburannya. Fokus bro!
Sebab itu saya selalu sebut, penuhkan dulu ASB sebanyak mungkin sementara anda menambah ilmu pengetahuan yang sewajarnya. Itu adalah cara yang lebih baik. Dan kalau anda boleh membuat analisa saham sendiri, itu adalah jauh lebih baik.
Itu sahaja ulasan dari saya tentang post yang lepas.
Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang telah mengambil bahagian. Kalau masih belum dapat ebook tu sila beritahu saya.
Nak bangkang? Boleh sahaja. Ingin bertanya lanjut. Juga boleh. Ruang komen terbuka luas.